Tiga sekeluarga terselamat banglo terbakar

Tiga penghuni terselamat selepas sebuah banglo terbakar dalam kejadian di Taman Dinding, Ayer Tawar pada Jumaat. - Foto ihsan Bomba Perak
Tiga penghuni terselamat selepas sebuah banglo terbakar dalam kejadian di Taman Dinding, Ayer Tawar pada Jumaat. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

BERUAS - Seorang lelaki berusia 24 tahun cedera dipinggang selepas terjun dari tingkat 1 rumahnya dalam kebakaran di Taman Dinding, Ayer Tawar di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, kakak ipar mangsa berusia 34 tahun bersama anak perempuannya berusia empat tahun turut berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar mengikut pintu hadapan.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa oleh orang awam mendapatkan rawatan akibat kecederaan dihadapi selain terhidu asap tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar, Khairul Basri Sulaiman berkata, sepasukan anggota diatur gerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.48 pagi.

"Kebakaran melibatkan tingkat satu rumah banglo berkenaan dengan tiga penghuni berjaya keluar dalam kejadian itu. Pasukan bertindak melakukan pemadaman menggunakan aliran air.

Kebakaran memusnahkan tingkat satu sebuah banglo yang dihuni tiga mangsa di Ayer Tawar. - Foto ihsan Bomba Perak
Kebakaran memusnahkan tingkat satu sebuah banglo yang dihuni tiga mangsa di Ayer Tawar. - Foto ihsan Bomba Perak

"Operasi mengambil masa hampir empat jam kerana rumah mangsa mempunyai banyak perabot selain melakukan 'overhaul' bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran yang tinggal," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kemusnahan kebakaran dianggarkan 50 peratus dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Tambah beliau, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan dan Pasukan Bomba Sukarela Ayer Tawar tamat pada jam 1.30 petang.