Kronologi kes SRC Najib

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat gagal dalam rayuan terakhir, untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat. Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu, membuat keputusan bertentangan.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun itu di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas.

Berikut kronologi kes berkenaan:

4 Julai 2018 - Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International), yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib, untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos 2019 - Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 November 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Disember 2019 - Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan, bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

11 Mac 2020 - Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020 - Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Oktober 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021 - Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021 - Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

23 November 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya, kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember setelah kembali dari Singapura, dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Disember.

24 November 2021 - Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Disember 2021 - Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya, termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Disember 2021 - Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Disember, berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

8 Disember 2021 - Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Januari 2022 - Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

25 Januari 2022 - Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022 - Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022 - Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

25 April 2022 - Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

31 Mei 2022 - Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

7 Jun 2022 - Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022 - Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022 - Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

26 Julai 2022 - Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

15 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022 - Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.

19 Ogos 2022 - Najib menamatkan khidmat peguam caranya Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.

23 Ogos, 2022 - Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.

23 Ogos 2022 - Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib.

23 Ogos 2022 - Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

2 September 2022 - Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

6 September 2022 - Najib memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

5 Januari 2023 - Najib memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD) memohon agar dibebaskan daripada penjara atau kes SRC International Sdn Bhd dibicarakan semula.

19 Januari 2023 - Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta selama enam hari bermula 19 Jan dan 28 Feb.

28 Februari 2023 - Pihak-pihak selesai berhujah dan Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan berhubung semakan sebelum 31 Mac.

13 Mac 2023 - Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac untuk keputusan permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International. - Bernama