ZPP giat jalani program ahlan Ramadan

Dekati muzzaki dan mustahiq serta masyarakat muslim seluruh Pulau Pinang

Kaunter Bergerak ZPP yang disediakan untuk kemudahan pembayar zakat.
Kaunter Bergerak ZPP yang disediakan untuk kemudahan pembayar zakat.
A
A
A

Zakat Pulau Pinang (ZPP) antara institusi pengurusan zakat yang berperanan penting dalam menguruskan pungutan dan agihan wang zakat dan fitrah di negeri ini sepanjang Ramadan.

Pastinya pelbagai program telah disusun oleh ZPP bagi memastikan kutipan zakat dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar seterusnya dapat membantu golongan yang memerlukan di Pulau Pinang.

Ikuti wawancara yang dengan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali bersama WartawanSinarHarian, Mohd Iskandar Othman yang diadakan baru-baru ini, untuk mengupas lebih lanjut cabaran agensi berkenaan dalam melaksanakan kutipan dan agihan zakat.

AMRAN
AMRAN

SINAR HARIAN: Sepanjang Ramadan tahun ini, apakah program-program yang telah disusun oleh ZPP?

AMRAN: Alhamdulillah oleh kerana tahun ini pandemik Covid-19 dah tiada dan kita sudah di fasa endemik, maka banyak peraturan yang telah dilonggarkan. Jadi kita telah menyusun beberapa program khas sempena Ramadan sebagai program ahlan Ramadan (Selamat Datang Ramadan) 1444H dan kita sudah susun 10 program untuk dilaksanakan dalam aktiviti menyantuni muzzaki (pembayar) dan mustahiq dan seluruh masyarakat muslim seluruh negeri Pulau Pinang.

Pertama, program bersama mustahiq adalah program serahan sagu hati raya dan berbuka puasa manakala yang kedua, majlis serahan kafalah mahabbah kepada penerima skim kewangan bulanan. Kafalah Mahabah adalah skim untuk khairat kematian bagi pembayar zakat dan penerima zakat skim agihan bulanan.

Seterusnya, program bersama muzakki atau pembayar melibatkan rider bersama semua kakitangan Jabatan Operasi Kutipan ZPP yang akan membuat kutipan zakat harta di rumah muzzaki. Apabila dipanggil oleh pembayar, kami akan datang ke rumah untuk buat taksiran dan kutipan tetapi bayaran minimum mestilah sekurang-kurangnya RM3,000 untuk kami datang.

Selain itu kita akan mempergiatkan kaunter bergerak zakat fitrah dan majlis serahan kafalah untuk para pembayar. Kita juga mengatur program bersama masyarakat seperti membuka gerai jualan produk asnaf, bicara santai bersama selebriti jemputan, sembang santai bersama usahawan-usahawan dan juga zakat secara virtual.

Berapa banyak peruntukan disediakan bagi memanfaatkan golongan asnaf pada Ramadan kali ini?

AMRAN: Peruntukan setiap tahun untuk asnaf bagi menyambut Ramadan dan Syawal dikhususkan melalui dua skim iaitu Skim Agihan Nur Ramadan bagi tahun ini yang telah diagihkan berjumlah RM4.02 juta dan disalurkan kepada lebih 4,200 orang penerima asnaf fakir dan miskin melalui bantuan bulanan. Setiap penerima asnaf fakir akan mendapat RM700 manakala asnaf miskin mendapat RM600 untuk sekali bayar sempena Nur Ramadan.

Kedua, skim serahan sagu hati raya yang memperuntukkan sebanyak RM5.82 juta untuk golongan asnaf fakir dan miskin. Untuk tujuan ini juga setiap asnaf fakir akan menerima RM700 seorang dan asnaf miskin akan mendapat RM600 secara one off. Di samping itu, ZPP turut memberi bantuan kepada 247 masjid dan 18 surau Jumaat menerusi sumbangan agihan Ramadan peringkat Pulau Pinang meliputi Masjid Negeri menerima RM5,000, Masjid Daerah (RM3,000), Masjid Kariah (RM1,000), Masjid Khairi Jamek (RM1,000) dan Surau Jumaat (RM1,000).

Berapakah penetapan bayaran zakat fitrah oleh ZPP mengikut tahap (nilai) bagi umat Islam di Pulau Pinang tahun ini? Bagaimana pula ZPP mainkan peranan dalam memastikan setiap umat Islam menunaikan zakat fitrah?

AMRAN: Bagi tahun 1444H atau 2023 ini, ZPP menetapkan tiga kadar zakat fitrah bernilai

RM7, RM13 dan RM20 setiap seorang pada tahun ini. Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan.

No Image Caption

Kadar bayaran zakat fitrah tertinggi iaitu RM20 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras Basmathi, Herba Ponny, Beras Jepun / Calrose atau yang setara dengannya. Kadar bayaran RM7 ditetapkan bagi mereka yang makan beras special tempatan 5 peratus, super special tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium, beras hancur, beras merah atau lain-lain yang setara dengannya. Bagi bayaran RM13 pula untuk mereka yang makan beras wangi, beras pulut, beras rebus, beras import atau yang setara dengannya.

ZPP akan memainkan peranan yang aktif dalam memastikan setiap umat Islam menunaikan zakat fitrah dengan cara mempelbagaikan kaedah dakwah dan kaedah perkhidmatan bayaran. Pertamanya, kita lantik seramai 1,699 amil zakat fitrah yang melibatkan lebih 237 pusat kutipan untuk membuat pungutan di seluruh negeri ini. Kita juga memberi pengiktirafan kepada amil zakat fitrah yang menjalankan amanah dan tanggungjawab menyebar dakwah zakat dan mengutip zakat fitrah melalui anugerah pengurusan zakat fitrah terbaik.

Anugerah ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kutipan tertinggi yang dipilih di setiap daerah, peratusan kenaikan kutipan tertinggi dipilih berdasarkan peratusan kutipan sebelum ini dan pengurusan terbaik. Ketiga-tiga kategori ini ditetapkan berdasarkan kecekapan dalam pengurusan meliputi kepantasan menghantar borang, cadangan amil fakir miskin yang lengkap serta minit mesyuarat yang komprehensif.

Selain itu, ZPP melakukan sebaran dakwah melalui video-video pendek untuk diterbitkan di semua platform milik ZPP dan akhir sekali ZPP dari semasa ke semasa mengadakan promosi khas platform perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara tanpa tunai dan galakan masyarakat di Pulau Pinang memanfaatkan kaedah pembayaran zakat secara tanpa tunai.

Akhir sekali, apakah harapan ZPP secara umumnya dalam usaha menjadikan institusi ini terus memainkan peranan secara holistik bagi memastikan umat Islam kebajikan asnaf negeri ini terjaga dan terbela?

AMRAN: Institusi zakat ini sangat penting kerana ia merupakan perantara pembayar dan penerima. Tanggungjawabnya amat besar bagi memastikan kutipan zakat dapat dilakukan dengan optimum dan cekap serta dapat mengagihkan kepada asnaf secara berkesan. Sekadar melakukan pengagihan mungkin mudah tetapi memastikan agihan itu benar-benar berkesan dan memberi impak yang positif adalah satu cabaran yang besar. Oleh itu ZPP perlu mempamerkan nilai-nilai Islam yang tinggi seperti integriti pengurusan dan keadilan tadbir urus zakat di samping perlu bersikap profesional dalam mengurus tadbir dana zakat.