Bekalan ayam, telur cukup sepanjang Ramadan, Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan ayam dan telur ayam mencukupi di pasaran sepanjang bulan Ramadan serta menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kementerian tersebut, satu sesi libat urus bersama telah diadakan dengan beberapa pihak lain bagi memastikan isu bekalan dan harga barangan itu dapat ditangani secara holistik.

Ujarnya, antara pihak berkenaan termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak- Penternak Malaysia (FLFAM).

“Pihak pengeluar menerusi FLFAM telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Mereka juga turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan tersebut dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan,” kata KPDN dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, kementerian tersebut menambah, sebanyak 183,047 pemeriksaan telah dijalankan terhadap peniaga bekalan ayam dan telur dengan 2,711 daripadanya didapati menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain.

Susulan itu, pihaknya turut menggalakkan pengguna untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan dalam penyaluran bekalan berkenaan.

“KPDN berusaha sedaya upaya menangani isu kenaikan harga barang yang tidak munasabah bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.