Lelaki hilang ketika joging rupanya pengsan dua hari

Yahaya
Yahaya
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar berjoging berhampiran kawasan Anjung Bercham Indah di sini sejak 28 Mac lepas telah selamat kembali ke rumah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kehilangan lelaki berusia 32 tahun itu disebabkan mangsa tidak sedarkan diri selama dua hari di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa mendakwa semasa berjoging, dua lelaki tidak dikenali telah menghampirinya dan mengetuk kepala dari arah belakang sehingga pengsan.

"Mangsa telah tersedar pada 30 Mac sekitar jam 3 pagi lalu pulang ke rumah dengan sendiri dari tempat kejadian.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit kepala dan kini sedang menerima rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes kehilangan mangsa telah tular di media sosial dan mendapat perhatian umum selepas dimuat naik satu akaun di laman Facebook.

Katanya, siasatan lanjut kejadian itu dilakukan daripada pelbagai sudut.

"Polis meminta saksi orang awam yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya.