Bukan mudah tapi tak mustahil jerat Harimau Selatan - Kim Swee

Pemain Sabah dituntut lebih fokus dan berdisiplin apabila berdepan pendahulu liga JDT di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat. - Foto Facebook Sabah FC
Pemain Sabah dituntut lebih fokus dan berdisiplin apabila berdepan pendahulu liga JDT di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat. - Foto Facebook Sabah FC
A
A
A

PEMAIN Sabah FC diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan mudah yang akan merugikan The Rhinos apabila berdepan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Malah pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu pemain The Rhinos tampil di laman keramat Harimau Selatan itu dengan misi mengekalkan rekod bersih dalam lima perlawanan sebelum ini.

“Kita tahu apabila berkunjung ke JDT nanti bukan satu tugas mudah, kerana saya pun tidak tahu bila kali terakhir Harimau Selatan tewas di laman sendiri.

“Namun Sabah bertekad mahu mengekalkan momentum positif dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini dengan memberikan tentangan sengit kepada JDT biarpun bukan satu perkara mudah, namun tidak mustahil untuk pemain Sabah melakukan kejutan.

“Saya harap pemain-pemain Sabah yang diturunkan di Stadium Sultan Ibrahim, memberikan aksi terbaik dalam menyaingi jentera JDT kerana perlawanan ini sememangnya penting untuk kedua-dua pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mengenai persediaan bahagian serangan The Rhinos dalam mengekang asakan jentera serangan Harimau Selatan yang telah meledak 21 jaringan dalam lima perlawanan terakhir, Kim Swee menegaskan pasukan pelawat akan mengekalkan pendekatan sama seperti dalam perlawanan sebelum ini.

“Tiada sebarang perbezaan yang dilakukan dalam persediaan berdepan jentera serangan JDT, pendekatan kita masih lagi sama seperti dalam lima perlawanan terdahulu kerana saya percaya setiap pemain Sabah tahu tanggungjawab masing-masing dalam perlawanan penting ini.

“Apa yang paling penting di sini setiap pemain perlu mengekalkan fokus dan lebih berdisiplin dalam perlawanan ini kerana JDT sebuah pasukan yang mempunyai kualiti yang cukup baik dan mereka mampu melakukan serangan pada bila-bila masa, selain bahagian pertahanan paling ampuh apabila hanya bolos satu gol pada ketika ini.

“Jika dilihat statistik perlawanan sebelum dapat kita katakan bahawa JDT berada pada tahap terbaik mereka, namun saya percaya pemain-pemain Sabah teruja untuk membuktikan sesuatu apabila berdepan tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee menegaskan keputusan perlawanan ibarat buku bertemu ruas di Iskandar Puteri tersebut tidak akan mengubah arah tuju kejuaraan liga.

“Sejujurnya kita harus realistik kerana ini baru merupakan perlawanan keenam liga buat Sabah dan JDT, dan apabila jendela perpindahan pemain dibuka setiap pasukan akan melakukan penambahbaikan masing-masing.

“Bagi Sabah FC, saya lebih memfokuskan dari satu perlawanan ke satu perlawanan seperti yang saya maklumkan sebelum ini tanpa mengira JDT atau pasukan lain.

“Apa juga keputusan di Iskandar Puteri tidak akan menentukan pasukan mana yang akan menjulang kejuaraan liga musim ini.

“Malah kami masih perlu mengharungi lebih banyak perlawanan liga selepas ini selain beberapa lagi kejuaraan lain,” katanya.

Pada masa sama Kim Swee mengakui Harimau Selatan dikendalikan pengendali JDT, Esteban Solari merupakan satu pasukan yang boleh dikatakan paling konsisten bukan sahaja dalam setiap perlawanan tetapi juga dengan kejuaraan yang mereka miliki sejak beberapa musim lalu.

“Walaupun kita dapat lihat JDT meraih kejayaan demi kejayaan, namun Harimau Selatan sentiasa melakukan penambahbaikan pemain-pemain sedia ada terutama pada musim ini

“Ini termasuk kemasukan semula penyerang sensasi, Diogo Luis Santo bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim ini, malah tanpa Bergson Da Silva pun Diogo telah membuktikan keupayaan sebenarnya.

“Secara keseluruhan saya boleh katakan JDT memiliki skuad paling mantap tanpa mengira pemain import atau lokal yang diturunkan kerana setiap department pasukan seimbang serta mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan ketua jurulatih tanpa banyak perbezaan,” katanya.