Exco Melaka dilantik ikut semangat Kerajaan Perpaduan

Ahmad Zahid (tengah) menyerahkan peruntukan kepada usahawan desa di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik Sungai Balang, Muar pada Khamis.
Ahmad Zahid (tengah) menyerahkan peruntukan kepada usahawan desa di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik Sungai Balang, Muar pada Khamis.
A
A
A

MUAR - Melaka bukan hanya mendapat Ketua Menteri yang baharu tetapi barisan Exco Kerajaan Negeri juga akan distruktur semula.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang baharu itu, akan diselesaikan menerusi semangat perpaduan.

"Saya telah adakan perbincangan kerana majlis angkat sumpah akan diadakan pada petang esok, dan tentunya ia akan diikuti dengan penstrukturan semula barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

"Bagaimanapun saya masih belum memperoleh senarai nama cadangan daripada Ketua Menteri Melaka yang baharu. Namun saya yakin semangat Kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat nasional dapat diterjemahkan di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik Sungai Balang pada Khamis.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendekatan Kerajaan Perpaduan dapat disebarkan luaskan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak seterusnya diterima di peringkat negeri-negeri.

"Tentunya kita mengharapkan di dalam enam PRN negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan kelak, perkara yang sama akan berlaku.

"Oleh itu, kita mesti membiarkan "optik dan naratif" yang baik bagi menyebar luaskan situasi pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri," katanya.

Pada 27 Mac lalu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Presiden UMNO itu, pada Rabu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan jam 3 petang Jumaat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dalam kenyataannya pada Khamis berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Kompleks Seri Negeri.