PN yakin mampu tawan Selangor

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini sekiranya rakyat terus memberi sokongan kepada gabungan itu seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tidak mustahil melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat di negeri ini, PN mampu mengambil-alih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

"Rata-rata rakyat Selangor dilihat lebih yakin dan bersedia memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN.

"(Ini terbukti) hasil daripada kemampuan Pas melahirkan pimpinan berkualiti, berintegriti dan memiliki nilai moral tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Roslan Shahir berkata, berdasarkan kepada keputusan PRU15, gabungan itu juga berjaya menawan hati pengundi di Selangor.

"Dalam PRU15, PN telah memenangi enam kerusi Parlimen dengan tiga daripadanya melalui wakil Pas," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 25 Mac lalu meluluskan sebanyak 4,179 keahlian baharu parti itu sepanjang Februari dan Mac tahun ini di seluruh negara.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 404 keahlian baharu diterima dari negeri Selangor.

"Ini merupakan satu peningkatan sebanyak 76 ahli baharu berbanding tempoh Januari ke Februari lalu yang mana Pas Selangor ketika itu mencatatkan keahlian baharu seramai 328 orang," tambahnya.