97 permohonan lesen jual mercun, bunga api diterima

Polis Kuantan menerima 97 permohonan lesen penjualan mercun dan bunga api pada musim perayaan Aidilfitri kali ini. - Gambar hiasan
Polis Kuantan menerima 97 permohonan lesen penjualan mercun dan bunga api pada musim perayaan Aidilfitri kali ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Polis Daerah Kuantan menerima 97 permohonan lesen penjualan mercun dan bunga api sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, semua permohonan itu masih dalam proses dan belum ada satu jumlah lesen yang diluluskan bagi tujuan itu setakat ini.

Menurutnya, penjualan mercun dan bunga api dibenarkan bergantung kepada jenis yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Penjualannya hanya dibenarkan dalam tempoh 25 hari sebelum dan lima hari selepas perayaan di premis yang dikeluarkan lesen penjualan.

"Mercun tidak dibenarkan dijual secara dalam talian, di premis makanan dan premis berisiko seperti pam minyak" katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, permohonan lesen penjualan mercun dan bunga api ini memerlukan premis yang berasingan.

"Kedai serbaneka antara premis yang dibenarkan namun tertakluk kepada syarat seperti jumlah atau jenis mercun dan bunga api tertentu sahaja yang boleh dijual.

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjual bahan ini tanpa lesen atau melanggar syarat lesen yang telah ditetapkan," jelasnya.

Beliau berkata, pihak polis khususnya bahagian pelesenan dan semua elemen dalam penugasan akan melakukan pemantauan di semua premis yang dikeluarkan lesen penjualan mercun dan bunga api di daerah ini.