Arab Saudi sumbang 35 tan kurma

Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na'im Mokhtar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Arab Saudi menyumbang 35 tan kurma kepada rakyat negara ini sempena umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menerusi program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul AziI Al-Saud, kerajaan Arab Saudi turut berkenan menyampaikan sumbangan 17,000 naskhah al-Quran dan tajaan majlis berbuka puasa nasi mandy ayam untuk 15,000 orang.

Ia disampaikan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di Kompleks Islam, di sini pada Khamis.

Mohd Na'im berkata, Malaysia amat bertuah kerana sentiasa mendapat ruang dan dipilih oleh kerajaan Arab Saudi untuk pelaksanaan program itu.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan agar baginda sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada ALLAH SWT," katanya.

Menurutnya, sumbangan tahunan yang dilaksanakan Arab Saudi sejak lebih 20 tahun lalu diharap berterusan untuk rakyat negara ini.

"Saya sentiasa mendoakan supaya hubungan akrab antara kedua-dua negara, Malaysia dan Arab Saudi, akan terus diperkukuhkan silaturahim seperti yang dikehendaki oleh agama," katanya.

Sumbangan itu diselaraskan oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.