Sokong kecualikan cecair, gel nikotin dalam Akta Racun 1952

Pengecualian cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 membolehkan kawal selia perusahaan dilaksanakan serta merta melalui perundangan sedia ada. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rizani, Ridhwan)
Pengecualian cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 membolehkan kawal selia perusahaan dilaksanakan serta merta melalui perundangan sedia ada. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rizani, Ridhwan)
A
A
A

SHAH ALAM - Industri vape tempatan menyokong cadangan Lembaga Racun untuk mengecualikan cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 untuk membolehkan kawal selia perusahaan dilaksanakan serta merta melalui perundangan sedia ada.

Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, dengan pengecualian tersebut, secara tidak langsung peraturan dapat dibuat dan diperkenalkan dengan kadar segera bagi mengawal industri berkenaan.

“Kini perusahaan vape tempatan tiada peraturan tetapi sebaik sahaja pengecualian dibuat, ia dapat dikawal sedia melalui perundangan sedia ada.

“Bukan itu sahaja, industri dengan anggaran RM2.49 bilion ini akan mendapat hala tuju yang jelas, malah ia juga berupaya menarik pelabur asing dan domestik seterusnya meningkatkan nilai tambah kepada industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Lembaga Racun dilaporkan akan membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 untuk membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.

Pada masa sama, Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, vape boleh dikawal melalui peraturan-peraturan sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Tambah beliau, dengan penambahbaikan peraturan tersebut, kawalan akan dapat dibuat bagi memastikan tiada penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun.

“Secara tidak langsung ia, pengguna dapat memastikan bahawa produk yang dibeli dan dijual itu selamat untuk digunakan kerana kandungannya terkawal.

“Saya juga ingin menyarankan agar kerajaan membuat sesi perbincangan dengan wakil dan pemain industri dalam pelaksanaan kawal selia industri vape,” jelasnya.

Ujar beliau, pemain industri juga terbuka untuk berbincang hal tersebut bersama Kementerian Kesihatan

“Perbincangan bersama industri perlu diadakan untuk memastikan peraturan yang akan diperkenalkan itu mengambil kira keperluan perusahaan dan pengguna,” jelasnya.