Pengarah syarikat binaan laluan MRT didakwa rasuah, gubah wang haram

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat pembinaan bagi projek laluan Mass Rapid Transit (MRT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memberikan rasuah berjumlah lebih SG$650,000 dan satu tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4.13 juta.

G. Paismanathan didakwa memberikan wang secara rasuah berjumlah SG$655,766 kepada Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Sdn Bhd melalui seorang individu sebagai upah memastikan syarikat Colas Rail System Engineering Sdn Bhd yang diambil alih syarikat Pestech Technology Sdn Bhd meneruskan projek MRT Laluan Dua: Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya bernilai lebih RM693 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Dis 2017 dan 9 Jan 2018 di Amber Hill, Taman Melawati, Gombak mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi satu lagi pertuduhan, lelaki berusia 53 tahun itu didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM4.13 juta daripada akaun milik Colas Rail System Engineering Sdn Bhd kepada akaun milik Siaz Holding Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 16 Nov hingga 27 Dis 2017 di cawangan Maybank di Taman Subang Perdana, Petaling mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Aka 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin dan Irna Julieza Maaras, manakala tertuduh diwakili peguam Ragunath Kesavan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan tertuduh dijamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 19 April depan. - Bernama