Lawatan rasmi Anwar ke China tunjuk komitmen kuat, hubungan baik

Anwar dijangka tiba di Beijing pada jam 4.30 petang, 30 Mac dan disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri China, Sun Weidong. - Foto Bernama
Anwar dijangka tiba di Beijing pada jam 4.30 petang, 30 Mac dan disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri China, Sun Weidong. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China selama empat hari disifatkan sebagai salah satu lawatan yang besar dan istimewa bagi menunjukkan komitmen kuat dan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, China menjadi negara pertama di Asia Timur yang dilawati oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak mentadbir Kerajaan Perpaduan.

"Perdana Menteri juga merupakan salah seorang pemimpin terawal melawati Beijing selepas pelantikan semula Presiden China, Xi Jinping untuk penggal ketiga beberapa minggu yang lalu dan pelantikan Li Qiang sebagai Perdana Menteri China yang baharu.

"Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China. Pada masa yang sama, lawatan rasmi Perdana Menteri adalah bagi menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini," katanya dalam sidang akhbar sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke China, di sini pada Selasa malam.

Turut mengiringi dalam lawatan rasmi berkenaan ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Zambry berkata, Perdana Menteri dijangka tiba di Hainan pada jam 5 petang hari ini bagi menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia (BFA) dan Beijing pada jam 4.30 petang, 30 Mac.

Ahli Parlimen Tambun itu berdepan jadual padat dalam lawatan tersebut, dengan program pertama di Beijing adalah majlis berbuka puasa yang akan dihadiri lebih 200 rakyat Malaysia di China dan delegasi Malaysia.

Pada hari kedua, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Universiti Tsinghua, yang merupakan salah satu universiti tersohor di republik itu.

Pada hari sama juga, Zambry memaklumkan Anwar akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Jinping.

"Perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil di dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala, terutamanya dalam konteks sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan sambutan ulang tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

"Selain itu, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pendapat mengenai hala tuju hubungan dua hala mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar," katanya lagi.

Zambry menambah kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah serta isu-isu ketamadunan.

Ia kemudian disusuli dengan kunjungan hormat oleh Pengerusi National People's Congress, Zhao Leji.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri akan turut menghadiri iftar yang dianjurkan oleh Malaysia-China Chamber of Commerce pada 31 Mac, di mana program berkenaan dijangka dihadiri para pemimpin komuniti Islam di China dan tokoh-tokoh korporat Malaysia.

Pada hari terakhir lawatan rasmi, Anwar dijadual terlibat dalam Mesyuarat Meja Bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh-tokoh korporat China diikuti dengan Forum Perniagaan membabitkan 1,000 orang peserta dari kedua-dua negara.

Pada sebelah petang pula, Perdana Menteri akan diraikan oleh Qiang dan Kerajaan China dengan Upacara Sambutan Rasmi di Great Hall of the People, dan disusuli dengan Mesyuarat Dua Hala antara kedua-dua pemimpin.

Satu sidang media akan diadakan selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Qiang bagi memaklumkan hasil perbincangan dan keputusan yang dimuktamadkan oleh kedua-dua pemimpin.

Untuk rekod, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun lalu adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021.

Jumlah eksport ke China meningkat sebanyak 9.4 peratus berjumlah RM210.62 bilion, manakala jumlah import dari China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus dengan jumlah RM276.50 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Manakala, nilai pelaburan dari China bernilai RM9.6 bilion yang telah membuka peluang-peluang pekerjaan kepada 6,193 orang pada tahun 2022. - Awani