Gencatan politik tidak timbul jika ikut prinsip Maqasid Syariah

Dr Hamdan ketika dalam Wacana Sinar siri 390 bertajuk ‘Ramadan: Gencatan Politik Atau Ambil Kesempatan?’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Dr Hamdan ketika dalam Wacana Sinar siri 390 bertajuk ‘Ramadan: Gencatan Politik Atau Ambil Kesempatan?’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu gencatan politik tidak akan timbul sekiranya negara mengangkat asas politik yang mengikut pendekatan prinsip Maqasid Syariah.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata, ia berikutan konsep tersebut jelas mengangkat amanah dan hasrat rakyat sekali gus menolak unsur-unsur kritikan serta dakwaan negatif daripada beberapa pihak.

“Maqasid Syariah itu jelas bahawa siasah itu adalah satu maqasid, iaitu menjaga harta, menjaga nyawa dan sebagainya.

“Jadi andai kata politikus memegang aspek itu, bahawa adanya amanah, mengangkat hasrat rakyat dan terus kepada maslahat rakyat, supaya maslahat itu tidak bertukar kepada muslihat.

“Kalau sebut gencatan, kita tahu mesti sebab kutuk-mengutuk sampai ke tahap ‘body-shaming’ dan sebagainya. Ini takkan berlaku kalau setiap parti politik mentarbiah ahli dan pemimpin politiknya tetapi itu bukan senang,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 390 bertajuk ‘Ramadan: Gencatan Politik Atau Ambil Kesempatan?’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, ujar Dr Hamdan, semua pihak termasuk parti politik perlu bekerjasama dan memainkan peranan dalam mengutamakan aspek untuk merawat keadaan negara pada masa kini.

“Bila sebut tentang Maqasid Syariah dan sahsiah, hujungnya mereka perlu melihat kepada hak asasi rakyat serta tentang nasib mereka tetapi saya nampak perkembangan (proses) itu sedang berlaku.

“Proses itu cukup panjang dan proses merawat sedang berlaku. Tetapi masa masih belum memihak kerana dengan keadaan yang singkat dan berlaku pelbagai situasi politik sekarang ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!