Impian kahwin musnah, duda rugi RM183,600 angkara love scam

Seorang duda kerugian RM183,600 selepas diperdaya sindiket Love Scam. - Gambar hiasan
Seorang duda kerugian RM183,600 selepas diperdaya sindiket Love Scam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang juru kimpal berputih mata apabila wang pinjaman peribadi dan wang simpanan yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM183,600 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket love scam.

Duda berusia 55 tahun itu dikatakan sanggup mengeluarkan wang simpanan persaraannya termasuk menanggung beban hutang secara bulanan selepas membuat keputusan untuk berkahwin dengan wanita yang dikenali melalui laman sosial Facebook pada awal Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tujuan perkahwinan itu mangsa telah membuat pemindahan wang RM25,600 melalui pemindahan secara dalam talian pada awal Februari lalu.

Menurutnya, pemindahan wang dibuat untuk pembayaran kos kiriman yang AS$600,000 bagi perbelanjaan perkahwinan mereka.

"Mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan yang berjumlah keseluruhannya RM183,600.

"Mangsa terus didesak untuk masukkan RM30,000 bagi tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang tersebut, tetapi mangsa enggan berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ramli berkata, susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya masyarakat lebih peka dan jangan mudah terpedaya dengan gambar profil yang cantik atau tampan.

Katanya, sebaliknya berhati-hati memilih rakan melalui laman sosial terutamanya kenalan yang dikatakan daripada luar Negara.

"Masyarakat juga dinasihatkan jangan memberi pinjam atau memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali," katanya.