Prasarana diarah cari penyelesaian LRT, MRT kerap rosak

Anthony pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Terminal Bas Larkin Sentral pada Selasa. - Foto Bernama.
Anthony pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Terminal Bas Larkin Sentral pada Selasa. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu teknikal dam masalah dihadapi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat khas itu bagi membolehkan Prasarana memberi laporan penuh kepada kementerian berhubung kekerapan gangguan perkhidmatan yang membimbangkan pengguna di ibu kota.

"Saya berasa amat kesal dan memohon maaf atas semua penumpang terutama mereka yang bergegas pulang dari kerja untuk ke rumah untuk berbuka puasa.

"Dalam dua minggu lalu, LRT dan MRT memang mengalami beberapa kerosakan dan masalah teknikal yang memberikan gangguan kepada penumpang.

"Sudah tentu apa yang berlaku pada waktu puncak semalam memberikan kesan kepada ramai penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini, pada Selasa.

Pada malam Isnin, Rapid Rail dilaporkan mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif selepas perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa pada 7.50 malam.

Rapid Rail dalam satu kenyataan dilaporkan memaklumkan perkhidmatan rel alternatif itu beroperasi dengan semua tren dari arah Putra Heights berpatah balik ke Stesen LRT Pasar Seni manakala tren dari arah Gombak berpatah balik ke Stesen LRT Damai.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan akibat masalah bekalan kuasa membabitkan lima stesen bawah tanah antara stesen LRT Ampang Park dan Masjid Jamek.

Gangguan itu menyebabkan fasiliti seperti lif, eskalator dan lampu tidak dapat berfungsi di stesen terbabit.

Dalam pada itu, Anthony berkata, punca utama kepada masalah teknikal tersebut perlu dibincangkan dalam mesyuarat khas Prasarana agar tindakan dapat diambil.

"Ini kerana dalam tempoh dua minggu yang lalu kerap berlaku. Malam tadi di LRT laluan Kelana Jaya dan sebelum itu pagi semalam juga berlaku di MRT laluan Kajang.

"Perkara ini sesuatu yang kita amat ambil perhatian secara serius dan saya berasa amat kesal atas apa yang berlaku. Sudah tentu pelbagai usaha akan dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan LRT dan MRT," katanya.