Bas dirempuh lori simen: Penumpang nyaris hilang nyawa

Keadaan bas ekspres yang dirempuh lori simen di km 257 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan.- Foto: Ihsan pembaca
Keadaan bas ekspres yang dirempuh lori simen di km 257 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan.- Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tujuh cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah lori simen di KM 257 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komosioner Razali Ibrahim berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada jam 3.30 petang apabila lori simen dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pada gril penghadang di tengah jalan.

Menurutnya, lori tersebut kemudiannya masuk ke laluan bertentangan dan kemudian merempuh bas ekspres yang menghala ke selatan.

"Setakat ini tujuh mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

"Siasatan masih dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Razali berkata, mangsa yang cedera termasuklah pemandu bas dan pemandu lori.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan dua daripada mangsa merupakan anggota polis yang menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.21 berhubung kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bantuan turut diperoleh dari BBP Meru Raya, BBP Ipoh dan juga BBP Taiping.

Beliau berkata, jentera EMRS dari BBP Meru Raya dan BBP Ipoh digunakan untuk menghantar kesemua mangsa yang cedera ke HRPB.

Katanya, operasi menyelamat tamat pada jam 5.50 petang.