Kerajaan cadang warta 30 barangan skim harga maksimum Aidilfitri

SALAHUDDIN
SALAHUDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk mewartakan sebanyak 30 barang di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tempoh sambutan perayaan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu akan dibincangkan secara tuntas bersama semua pemain industri terutamanya yang terlibat dengan pembekalan barang mentah, barang kawalan dan barangan keperluan rakyat.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP itu juga dicadangkan untuk diadakan pada tujuh hari sebelum perayaan, dua hari semasa dan pada tujuh hari selepas Aidilfitri serta akan mengumumkan perkara itu pada minggu hadapan.

"Hal ini bagi memberikan kelegaan kepada masyarakat untuk berbelanja bagi menyambut perayaan Aidifitri nanti,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mewartakan sebanyak lapan jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2023 bermula 15 hingga 29 Januari lepas. - Bernama