PM menghadap Raja Kemboja, sampaikan hasrat perkukuh hubungan

Raja Norodom Sihamoni (kanan) berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Diraja Kemboja pada Isnin sempena lawatan rasmi sulungnya ke negara itu. - Foto Bernama
Raja Norodom Sihamoni (kanan) berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Diraja Kemboja pada Isnin sempena lawatan rasmi sulungnya ke negara itu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hasrat Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan Kemboja yang telah terjalin sejak 66 tahun lalu.

Ia disuarakan dalam pertemuan bersama Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni sempena lawatan rasminya ke negara tersebut pada Isnin.

“Saya juga sempat mengadakan kunjungan ke atas Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyatnya, Heng Samrin selain bertukar-tukar pandangan.

“Dalam kepadatan jadual, saya sempat menyantuni diaspora Malaysia dalam satu majlis di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh selain menyampaikan hasrat kerajaan agar kebersamaan dan kesepaduan terus dituntut meski berada di luar negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.

Lawatan rasmi dan sulung Perdana Menteri ke negara itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.05 pagi waktu tempatan disambut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Menteri Kanan Tugas-tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Othsman Hassan.