Lelaki maut dihempap kren pengangkut barang 20 tan

Keadaan kren yang tumbang menyebabkan pengendalinya maut di tempat kejadian.
Keadaan kren yang tumbang menyebabkan pengendalinya maut di tempat kejadian.
A
A
A

SERI ISKANDAR – Seorang operator pengendali kren maut selepas dihempap sebuah kren pengangkut barang seberat 20 tan dalam satu kejadian di tapak projek pembinaan perumahan di KM29 Jalan Ipoh-Lumut, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari itu, Lai Kim Choy, 47, beralamat dari Kampung Bercham meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, kren yang dikendalikan sendiri oleh mangsa itu hilang kawalan dan terbalik semasa kerja mengangkat bata dari bawah ke tingkat satu bangunan.

“Mangsa dipercayai cuba melompat keluar dari kokpit selepas menyedari kren dikendalikan itu tidak stabil dan hendak terbalik, tetapi tidak sempat keluar menyelamatkan diri.

“Keadaan itu menyebabkan bahagian badan mangsa tersepit dihempap kren dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan, sebaliknya berlaku akibat faktor kesilapan teknikal semasa pengendalian kren.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Changkat Melintang mendapati, punca kematian disebabkan kecederaan teruk di bahagian badan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Roslan Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi, sebahagian tubuh badan mangsa masih berada di bawah kren berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Usaha mengalihkan mangsa yang tersepit gagal berikutan jentera terlalu berat, pemaju kemudiannya menggunakan sebuah kren lain untuk mengangkat kren yang tumbang itu bagi membolehkan anggota bomba membawa mangsa keluar," katanya.

"Operasi tamat pada jam 1.04 petang," katanya