'Ke mana hilangnya Aliah Qistina'

Noor Fatimahtul Zaharah menunjukkan gambar anaknya yang beruniform pengawas bersama rakan sekolah.
Noor Fatimahtul Zaharah menunjukkan gambar anaknya yang beruniform pengawas bersama rakan sekolah.
A
A
A

JASIN - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu buntu memikirkan ke mana hilangnya anak gadisnya yang berusia 16 tahun sejak 17 Mac lalu selepas kali terakhir dilihat berada di rumah.

Sebagai ikhtiar, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 41, yang juga peniaga nasi lemak bersama suaminya akan ke kawasan tumpuan ramai setiap hari untuk mengedarkan poster gambar anak sulung mereka, Aliah Qistina Budiyanto, 16, yang hilang itu.

Menurutnya, sebelum Aliah hilang kira-kira jam 11 malam, anak bongsunya Adriana Ahmad Danny, 7, mendengar ketukan pintu dari arah dapur rumah.

Dia berkata, selepas itu Aliah Qistina meninjau dari arah tingkap dapur dan memaklumkan tiada siapa di luar rumah sebelum dia terlelap di ruang tamu.

"Bila saya terjaga, saya dapati televisyen terbuka, saya pergi ke arah dapur dan melihat pintu dapur rumah terbuka.

"Saya bau sesuatu yang wangi dan ke bilik Aliah Qistina, namun melihat dia tiada di bilik sebelum mengejutkan suami yang tidur di bilik belakang," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Maju Jasin di sini pada Isnin.

Katanya, Ramadan kali ini tidak seceria sebelumnya kerana memikirkan nasib anaknya itu.

"Jika sebelum ini saya akan memasak makanan kegemaran Aliah Qistina iaitu asam laksa dan daging masak kicap sebagai juadah berbuka, namun setiap kali juadah itu terlintas difikirannya dan air mata mengalir.

"Saya tak dapat bayangkan macam mana keadaan anak saya, kalau dia berpuasa di mana dan macam mana, makan apa, semua menjadi persoalan.

"Sekarang ini nak tengok barang-barang milik dia pun saya tak kuat, saya harap orang ramai dapat membantu mencari anak saya dan menyalurkan maklumat kalau ada melihatnya," katanya.

Noor Fatimahtul Zaharah menampalkan poster gambar anaknya Aliah Qistina di Jasin Bestari di sini, pada Isnin.
Noor Fatimahtul Zaharah menampalkan poster gambar anaknya Aliah Qistina di Jasin Bestari di sini, pada Isnin.

Jelasnya, setiap hari dia dan suami akan pergi ke sekitar Jasin untuk mengedar serta menampal poster gambar anak.

Dia berkata, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah itu bukan sahaja rajin membantunya di rumah, malah lebih gemar menghabiskan masa di rumah.

"Sehingga kini kami tidak putus asa mencarinya. Ketika hilang dia tidak membawa bersama dompet, MyKad dan telefon bimbit.

"Tolonglah saya merayu dan berharap anak saya dapat ditemukan dengan selamat, kasihanilah dia, hantarlah dia pulang di tempat yang boleh dijumpai," katanya.

Noor Fatimahtul Zaharah turut bersedih apabila ada segelintir yang membuat spekulasi dan menganggap kehilangan anaknya itu kerana lari mengikut teman lelaki.

"Saya ibunya dan saya lebih mengenali anak saya, dia bukan suka keluar rumah dan akan keluar rumah bila ada keperluan sahaja," katanya lagi.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Aliah Qistina boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Noor Fatimahtul Zaharah ditalian 011 27099060.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan dibuat keluarga remaja itu sehari selepas kehilangannya iaitu pada 18 Mac lalu.