Polis cari Syafiq Raj Kalai

Syafiq Raj Kalai
Syafiq Raj Kalai
A
A
A

MELAKA - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes merempuh seorang pesara hingga mati di Plaza Pandan Malim di sini, pada 27 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki dikenali sebagai Syafiq Raj Kalai berusia 27 tahun itu dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, sebelum ini pihaknya telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di kawasan Ayer Keroh.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit serta pakaian yang dipakai semasa kejadian, manakala seorang lagi masih bebas sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki itu untuk segera memaklumkan kepada pihaknya atau hadir ke balai polis berdekatan.

“Maklumat juga boleh terus disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Nazam Md Shah di talian 012-7221913,” katanya lagi.

Media sebelum ini menyiarkan seorang pesara maut selepas dirempuh sebuah kereta gara-gara menegur muzik dipasang dua individu di dalam kenderaan tersebut terlalu kuat.

Kejadian jam 2.45 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 57 tahun meninggal dunia selepas 11 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Anak mangsa memaklumkan, kejadian berlaku selepas dia dan bapanya menegur dua lelaki menaiki kereta jenis Perodua Axia yang memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumahnya di Kampung Padang.