Sembilan saksi dipanggil insiden operasi tangkap anjing

Fakhrudin dan laporan Sinar Harian.
Fakhrudin dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertindak memukul warga emas semasa menangkap anjing liar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah memanggil sembilan saksi memberi keterangan termasuk orang awam yang melihat kejadian tersebut.

"Kita masih dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes ini.

"Apabila siasatan selesai, ia akan dimajukan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya pada Isnin.

Ditanya mengenai mengenakan pertuduhan kepada salah seorang atau kedua-dua pihak yang terlibat di dalam kes tersebut, Mohamad Fakhrudin berkata, pihak polis tidak dapat mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan ketika ini.

Namun begitu katanya, polis akan memaklumkan kepada media sekiranya ada sebarang pertuduhan.

Pada 24 Mac, tular satu video anggota MBPJ yang didakwa mendera warga emas ketika misi menangkap anjing dengan bertindak memukulnya.

Perbuatan pegawai berkenaan dirakam ketika dia cuba menangkap beberapa ekor anjing dengan batang besi penangkap anjing.