'Rumah ditenggelami air, perahu turut dihanyutkan arus'

Seramai 91 orang daripada 30 keluarga di rumah panjang di Kanowit terjejas banjir. - Foto Bernama/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Kanowit
Seramai 91 orang daripada 30 keluarga di rumah panjang di Kanowit terjejas banjir. - Foto Bernama/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Kanowit
A
A
A

SIBU - Seramai 91 orang daripada 30 keluarga di rumah panjang di Kanowit dekat sini terjejas banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna JKKK Ngungun yang dibuka pada 1.30 tengah hari tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, mereka yang terjejas terdiri daripada penduduk Rumah Nyalong Indet dan Rumah Suzusie Lily Jenau di Nanga Baloh serta Rumah Langong di Nanga Bat yang ketiga-tiganya terletak di tepian Sungai Ngemah.

Banjir itu dikatakan berlaku semalam apabila hujan turun tanpa henti dari tengah malam hingga pagi di kawasan Ulu Ngemah dan video kejadian banjir itu tular dalam media sosial sebagai cara penduduk meminta bantuan daripada pihak berwajib.

Antara rumah panjang yang turut ditularkan ialah Rumah Jimmy di Nanga Lakah dan penduduknya mengadu rumah mereka ditenggelami banjir selain tidak dapat ke mana-mana berikutan perahu mereka telah dihanyutkan arus deras.

Turut terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Ulu Poi yang ditenggelami banjir setinggi kira-kira 1.2 meter.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ngemah Anyie Jana turut turun padang melawat rumah-rumah panjang yang terjejas bersama pihak berkuasa dan pasukan pusat khidmatnya.

Setakat pukul 6 petang tadi, paras air dilaporkan menunjukkan trend menurun.

Sementara itu di Perak, semua mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama yang ditempatkan di empat PPS dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari tadi.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang ditutup pada kira-kira 12.10 tengah hari selepas banjir surut.

"PPS di SK Bukit Jana pula ditutup pukul 1.20 tengah hari, manakala PPS di Dewan Orang Ramai Simpang Halt pada 5 petang tadi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Baru, Trong pula dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 5.50 petang. - Bernama