Isu PM ke Arab Saudi: Pembangkang kemuka usul di Dewan Rakyat

Wan Ahmad Fayhsal. Foto fail SINAR HARIAN.
Wan Ahmad Fayhsal. Foto fail SINAR HARIAN.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang akan mengemukakan usul berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dalam Dewan Rakyat.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kegagalan yang didakwa tersebut merupakan satu tamparan hebat ke atas Malaysia.

Menurutnya, campur tangan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff juga membuktikan bahawa krisis politik tersebut adalah benar.

“Macam mana Pejabat Perdana Menteri (PMO) boleh suruh Wisma Putra buat pemakluman media yang ini adalah lawatan rasmi kalau tidak dapat bertemu dengan Putera Raja merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud?

“Ini jelas adalah satu kesilapan diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi iaitu sekutu utama kita dalam politik antarabangsa.

“Kepada apologis (orang yang mempertahankan) Kerajaan Malaysia Madani, kalau nak tahu apa bentuk lawatan rasmi kenegaraan, boleh belajar daripada lawatan ahli Parlimen Pagoh ketika beliau melawat Arab Saudi pada 2021,” katanya dalam satu hantaran pada Ahad.

Media melaporkan, Anwar dijadual mengadakan sesi lawatan rasmi buat julung kali ke Arab Saudi selama tiga hari bermula pada Rabu lalu.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, antara protokol yang dilakukan semasa Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan adalah termasuk disambut oleh Perdana Menteri Arab Saudi di lapangan terbang dengan karpet merah.

Selain itu, katanya, Muhyiddin turut mengadakan pertemuan empat mata bersama Putera Mahkota Mohammed di Istana al-Yamamah, Riyadh selain diberi penghormatan untuk masuk ke dalam Kaabah seperti mana yang diterima Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

“Pengumuman besar dan utama berhubung hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi di mana ketika Muhyiddin bertemu dengan kerajaan Arab Saudi yang diwakili oleh Putera Raja. Kita mendapat 10,000 kuota haji tambahan dan kemudahan urusan imigresen buat rakyat kita menunaikan ibadah umrah dan haji.

“Manakala Arab Saudi bersetuju di masa hadapan untuk tingkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318,000 tan berjumlah RM900 juta ke 500,000 tan,” jelasnya.

Tambah beliau, perkara yang dilakukan Muhyiddin itu adalah yang dimaksudkan dengan lawatan rasmi negara dan mengeratkan lagi hubungan serta menambahkan manfaat antara kedua-dua buah negara.

“Dan bukan tidak pernah Perdana Menteri dapat layanan rasmi seperti mana beliau ke Turkiye, Filipina, Indonesia sebelum ini. Tetapi di Arab Saudi lain pula jadinya. Mengapa jadi begini?” soalnya.