PMO perlu jelas isu lawatan Anwar di Arab Saudi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menunaikan umrah di tanah suci Makkah baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menunaikan umrah di tanah suci Makkah baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Perdana Menteri (PMO) perlu memberi penjelasan tuntas berhubung pencapaian hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi pada Rabu lalu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, perincian mengenai objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan tersebut juga perlu diperjelaskan.

Ujar Mohd Syahir, secara umumnya, terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang mempunyai objektif, sambutan dan aturan tersendiri.

“Bagi sesebuah lawatan rasmi, objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin, sambutannya penuh protokol, kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat, dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.

"Memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023, 'Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam'.

"Namun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan," katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Media melaporkan, Anwar dijadual mengadakan sesi lawatan rasmi buat julung kali ke Arab Saudi selama tiga hari yang bermula pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, ulas Mohd Syahir, bagi sesebuah lawatan perniagaan pula, objektifnya adalah untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.

Menurutnya, laporan menyatakan bahawa pertemuan dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi.

"Manakala bagi sesebuah lawatan umrah, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Makkah dan ziarah di Madinah.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri ke-10 berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isteri, Menteri Luar dan Menteri Komunikasi Malaysia. Semoga beroleh umrah yang mabrur," ulasnya.