Kerabu sare makanan eksotik memikat selera

Wan Nor Hamiza menunjukkan hidangan kerabu sare yang telah siap.
Wan Nor Hamiza menunjukkan hidangan kerabu sare yang telah siap.
A
A
A

KUANTAN - Kerabu sarang atau lebih dikenali kerabu sare merupakan satu menu eksotik di bulan Ramadan yang sukar didapati pada hari-hari biasa.

Lazimnya, sajian itu dihidangkan bersama dengan lauk-pauk lain bagi membangkitkan lagi selera penggemar dan juadah terbabit sesuai dimakan ketika berbuka mahu pun bersahur.

Wan Nor Hamiza Che Hussin, 32, merupakan individu yang mahir dalam memasak kerabu sare berkata, juadah tersebut kurang popular pada hari-hari biasa, namun mendapat permintaan luar biasa setiap kali Ramadan.

“Saya hanya jual kerabu sare sepanjang bulan Ramadan sahaja, memang ramai akan mencari menu ini pada bulan puasa.

Rumpai laut yang sudah dikeringkan untuk dijadikan kerabu sare.
Rumpai laut yang sudah dikeringkan untuk dijadikan kerabu sare.

“Sepanjang Ramadan, saya hanya hadkan tempahan kerabu sare setakat 60 bekas sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin Aman, di sini pada Sabtu.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu kerabu sare sejenis lauk ulaman sebenarnya berasal dari alga merah, spesies Grasilaria.

Menurutnya, tekstur rumpai laut ini lembut seakan-akan nampak seperti bihun selepas direndam dan dicuci dengan air bersih serta ditoskan.

“Rumpai laut ini, tidak perlu dimasak sebaliknya perlu ramuan tambahan lain untuk membangkitkan rasanya,” katanya mula menjual juadah berkenaan sejak tahun 2019.

Sambal tumis, kelapa goreng dan limau nipis antara perisa yang akan dicampur dan digaulkan dengan rumpai laut untuk dijadikan kerabu sare.
Sambal tumis, kelapa goreng dan limau nipis antara perisa yang akan dicampur dan digaulkan dengan rumpai laut untuk dijadikan kerabu sare.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, antara ramuan utama yang digunakan untuk membuat kerabu sare antaranya rumpai laut yang telah dicuci dan dikeringkan, kelapa yang digoreng tanpa minyak serta sambal tumis.

Jelasnya, juadah ini tidak boleh dimakan semata-mata kerana tiada rasa, disebabkan itu memerlukan tambahan perisa.

“Jadi sebagai pelengkap rasa kerabu berkenaan, bahan-bahan seperti sambal tumis, kelapa goreng dan asam limau.

“Sambal akan ditumis bersama-sama campuran bawang merah, cili besar, cili kecil, halia, lengkuas, santan dan bawang putih.

“Selepas siap menumis bahan berkenaan, sediakan perahan limau nipis atau ada sebahagianya menggunakan limau kasturi.

“Kemudian, gaulkan kesemua bahan tadi dan kerabu sare boleh dihidangkan,” katanya.

Kerabu sare yang siap untuk dimakan.
Kerabu sare yang siap untuk dimakan.

Wan Nor Hamiza memberitahu kerabu sare dimakan bersama nasi putih, namun sebilangan penggemar makanan itu menjadikannya sebagai pembuka selera.

Seorang pembeli, Zarra Yasmeen Anizan, 34, berkata, kerabu sare merupakan salah satu makanan wajib yang dicari apabila tiba bulan Ramadan.

Apabila ditanya keunikan kerabu sare, penjawat awam itu berkata, rasanya unik dan berbeza dengan kerabu lain yang biasa dijual.