PRN: Gerakan tanding di semua negeri

Dominic (dua dari kanan) pada sidang media sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Yang Ke-51 di ibu negara pada Sabtu.
Dominic (dua dari kanan) pada sidang media sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Yang Ke-51 di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan hasrat meletak calon parti itu bertanding di semua negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menjelaskan, rundingan pemilihan kerusi pada PRN akan datang juga telah dibuat bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kita menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dipertimbangkan," katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Yang Ke-51 di ibu negara pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berhubung Gerakan patut dibubarkan kerana tidak dapat mandat rakyat.

Menurut Dominic, walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat tetapi Gerakan akan terus kekal relevan.

Beliau berkata, Anthony Loke tidak faham kenapa Gerakan terus kekal relevan walaupun sudah kalah dalam beberapa pilihan raya.

"Ini kerana Gerakan bukan seperti DAP. Mendapat mandat daripada menipu rakyat dengan janji-janji kosong.

"Sebelum pilihan raya mereka cakap ingin iktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), dan pilihan raya kerajaan tempatan. Mana janji-janji itu? Penipuan ini dibuat untuk mendapat mandat rakyat tetapi mereka hanya diam selepas mendapat mandat," jelasnya.

Tambah Dominic, Gerakan akan terus kekal relevan kerana mempunyai prinsip dan akan menunaikan janji-janji sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang.