Malaysia harap Arab Saudi lulus tambahan 350 jemaah haji

Mohd Naim
Mohd Naim
A
A
A

SEPANG - Malaysia masih menanti jawapan kelulusan tambahan 350 lagi kuota haji bagi tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, permohonan tambahan itu dilihat relevan kerana populasi rakyat negara ini meningkat kepada 31.95 juta penduduk.

"Kuota haji yang diperuntukkan kepada Malaysia pada tahun ini adalah 31,600, jadi kita minta tambahan 350 lagi supaya kuota ditingkatkan kepada 31,950 jemaah.

"Jadi kita ada asas (peningkatan populasi) yang kita beritahu kerajaan Arab Saudi kenapa hendak tambahan 350 jemaah lagi supaya jumlah jadi 31,950," katanya kepada media semasa Karnival Pengelola Jemaah Haji (PJH) di sini pada Sabtu.

Pada Januari lalu, kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk mengembalikan kuota asal jemaah haji Malaysia pada tahun ini kepada 31,600 berbanding 14,306 orang pada tahun lalu.

Keputusan itu dibuat hasil kata sepakat yang dipersetujui antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi dalam mesyuarat khas dihadiri Mohd Na'im dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Dalam mesyuarat tersebut, Tawfiq turut memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah yang patut dicontohi.

Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, permohonan tambahan kuota tersebut telah disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi pada Januari dan Februari lalu.

"Semasa saya ke Jeddah pada Januari lalu sudah dikemukakan rayuan ini dan apabila Dr Tawfiq buat kunjungan ke Malaysia pada Februari lalu saya juga sudah kemukakan rayuan sama. Jadi kita harap kerajaan Arab Saudi akan beri pertimbangan," katanya.