Duit simpanan KWSP RM164,601 lesap diperdaya Love Scam

Penyelia sebuah kilang kerugian RM164,601 selepas diperdaya sindiket Love Scam. - Gambar hiasan
Penyelia sebuah kilang kerugian RM164,601 selepas diperdaya sindiket Love Scam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik seorang penyelia sebuah kilang berjumlah RM164,601 lesap selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Manga berusia 56 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita di sebuah laman sesawang pada pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa kemudian ditawarkan satu skim pekerjaan sambilan melalui satu capaian yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp pada awal Disember lalu.

Menurutnya, semua urusan perkenalan dan perniagaan antara mangsa dan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka.

"Mangsa berminat dan mendaftar sebagai 'dropship' atau pemesan hantar dalam sebuah aplikasi yang menjual barangan dengan bayaran sebanyak RM100.

"Selepas tiga bulan akaun mangsa telah disekat dan dua pelanggan mendakwa tidak menerima barangan yang ditempah mereka. Mangsa dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM4,000 tetapi aplikasi tersebut masih menunjukkan tiada pelanggan berminat berurusniaga dengan akaunnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa berhasrat untuk menutup akaun berkenaan kerana mahu mengeluarkan wang keuntungan yang dicatatkan iaitu sebanyak RM700,000.

Bagaimanapun, jelasnya, mangsa diminta membuat bayaran wang pemprosesan, cukai kerajaan dan pengurusan wang kastam untuk menebus keuntungan tersebut.

"Bagi mendapat keuntungan itu, mangsa membuat 14 kali pindahan wang ke tiga akaun bank yang berlainan berjumlah RM164,601.

"Wanita yang memperkenalkan platform perniagaan tersebut juga gagal dihubungi dan hanya dimaklumkan berada di luar negara atas urusan perubatan emaknya," katanya.

Tambahnya, mangsa tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.