Ranking Malaysia melonjak ke-140

Malaysia berpeluang membaiki lagi ranking sekiranya berjaya tewaskan Hong Kong Selasa depan. - Foto FB FAM
Malaysia berpeluang membaiki lagi ranking sekiranya berjaya tewaskan Hong Kong Selasa depan. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak Malaysia berpeluang membaiki ranking daripada tangga ke-145 ke kedudukan yang lebih baik sejak 15 tahun lalu.

Harimau Malaya ketika ini mengumpul 1,071.99 mata selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2022 akhir tahun lalu.

Kejayaan anak buah Kim Pan-gon mengalahkan Turkmenistan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada Khamis membolehkan skuad negara menokok 5.27 mata.

Penambahan mata berharga itu menjadikan mata keseluruhan terbaru kepada 1,077.26 sekali gus berada di ranking ke-140 memotong Burundi dan St Kitts and Nevis.

Perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac depan bakal memberikan lonjakan baharu buat Harimau Malaya menerusi penambahan 4.9 mata jika berjaya menewaskan pasukan itu.

Maka mata keseluruhan yang dikumpul sebelum kemas kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada April depan adalah sebanyak 1082.16.

Ia sekali gus melonjak ke kedudukan ke-139 dunia memintas negara dari Amerika Selatan, Suriname.

Kedudukan ke-139 dunia itu bakal menghampiri kedudukan terbaik skuad kebangaan pada 2011 selelas memenangi Piala AFF 2010 di mana Malaysia pernah menduduki tangga ke-138 sebelum mengalami kejatuhan ke tangga ke-178 pada tahun 2018.

Kemenangan ke atas Hong Kong juga bakal membantu Malaysia mengurangkan defisit perbezaan mata ranking dengan pesaing terdekat dari Asia Tenggara, Filipina kepada 27.44 mata.

Filipina kini di tangga ke-134 dunia dengan mata semasa sebanyak 1,109.60.

Kemas kini ranking akan dikeluarkan secara rasmi oleh FIFA pada 6 April 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!