MRSM berbayar: Syed Saddiq kemuka tiga persoalan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan tiga persoalan berhubung kontroversi penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar.

Beliau mempersoalkan keperluan membina MRSM khusus untuk golongan berpendapatan tinggi sedangkan terdapat lebih 180 sekolah swasta dan antarabangsa di Malaysia.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga bertanya sama ada Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini mahu lebih fokus kepada bidang perniagaan.

“(Soalan) kedua, adakah Mara kini fokus untuk buat bisnes kerana dulu buat bisnes di Australia rugi puluhan juta. Dulu buat bisnes Mara Digital Mall sekarang terpaksa ditutup.

“Soalan ketiga, siapa akan dapat projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) ini? Adakah ia akan menjadi berat sebelah seperti sebelum ini?

“Jangan kita ulangi kesilapan yang sama. Saya bangkitkan soalan-soalan ini bukan kerana nak hentam kerajaan tetapi kerana saya juga adalah anak Mara,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Syed Saddiq sebelum ini pernah menyuarakan pertanyaan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta penjelasan berkenaan proses, sumber pendanaan dan juga tanah untuk membina MRSM berbayar.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan menggunakan tanah Mara yang dikhaskan buat golongan miskin bagi membina MRSM berbayar.

Jelas beliau, sebaliknya kerajaan akan menggunakan PFI dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM berkenaan.

Ujarnya, permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani serta dilakukan dengan kaedah di luar kotak.