Tiga beranak hilang tempat tinggal

Nor Hafizah melihat keadaan rumahnya yang musnah terbakar.
Nor Hafizah melihat keadaan rumahnya yang musnah terbakar.
A
A
A

MELAKA - Keterujaan tiga beranak menyambut satu Ramadan diuji dengan rumah terbakar menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian lebih kurang jam 11.30 malam itu pada Khamis, menyebabkan rumah teres setingkat didiami mereka di Taman Merdeka Jaya di sini, musnah terbakar.

Ibu tunggal, Nor Hafizah Nor Azli, 40, berkata, ketika kejadian hanya anak sulung, Airish Zaquwan Affizi, 15, berada di rumah, manakala anak bongsunya Azrief Zaffuwan Affizi,12, menemaninya ke tempat kerja di Bazar Aidilfitiri di Mydin MITC.

Menurutnya, bagaimanapun dalam jam 11 malam dia yang berasa tidak sedap hati cuba menghubungi anak lelakinya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir itu namun tidak berjawab.

"Namun tidak lama kemudian Airish Zaquwan menghubungi saya dalam keadaan menangis berkali-kali meminta maaf kerana rumah terbakar.

"Saya minta dia membuat panggilan video dan saya terduduk melihat keadaan rumah dengan api yang marak," katanya.

Nor Hafizah yang telah lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal berkata, dia yang membawa bersama anak berusia 12 tahun ke tempat kerja segera pulang ke rumah dan mendapati tiada satu barang yang dapat diselamatkan.

Ashwad (kiri) ketika menziarahi Nor Hafizah (tiga,kiri) dan anaknya Airish Zaquwan di Taman Merdeka Jaya di sini, pada Jumaat.
Ashwad (kiri) ketika menziarahi Nor Hafizah (tiga,kiri) dan anaknya Airish Zaquwan di Taman Merdeka Jaya di sini, pada Jumaat.



"Paling sedih pakaian dan buku sekolah anak-anak tak dapat diselamatkan dan kini kami tinggal sehelai sepinggang.

"Saya pun tak tahu nak buat macam mana, setakat ini saya dan anak-anak menumpang di rumah abang berdekatan, dan kami reda dengan ujian yang berlaku di awal Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Melaka Ashwad Abd Rahim berkata, prihatin dengan nasib yang menimpa tiga beranak itu, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.

Bilik utama rumah Nor Hafizah yang musnah terbakar dalam kejadian kebakaran pada malam Khamis.
Bilik utama rumah Nor Hafizah yang musnah terbakar dalam kejadian kebakaran pada malam Khamis.

Menurutnya, ujian yang menimpa keluarga ini begitu berat lebih-lebih lagi ia berlaku pada hari pertama umat Islam menyambut Ramadan dan mangsa merupakan ibu tunggal yang ketika kejadian keluar mencari rezeki.

"Persatuan akan melancarkan tabung kilat untuk membantu meringankan beban termasuk jika perlu kita akan mencari kediaman sementara untuk tiga beranak ini berteduh," katanya.