Nasib Nagelsmann di hujung tanduk

Nagelsmann. Foto EPA.
Nagelsmann. Foto EPA.
A
A
A

NASIB Julian Nagelsmann sebagai jurulatih Bayern Munich ibarat telur di hujung tanduk.

Ia susulan penyandang juara Bundesliga itu bersedia untuk memecatnya selepas Bayern bergelut untuk mempertahankan kejuaraan mereka, lapor media Jerman.

Bayern yang dalam misi memburu gelaran ke-11 berturut-turut Bundesliga tewas 1-2 kepada Bayer Leverkusen awal minggu ini.

Kekalahan itu mengundang reaksi kurang senang Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic yang kecewa dengan aksi pasukannya.

"Kami membiarkan pasukan ditawan oleh skuad di pertengahan liga.

"Ini bukan Bayern yang sebenarnya," ujar Hasan.

Bayern ketika ini menghuni tangga kedua liga, satu mata dipisahkan dengan pendahulu, Borussia Dortmund.

Bekas pengendali Chelsea dan Borussia Dortmund, Thomas Tuchel disebut-sebut calon pilihan untuk menggantikan Nagelsmann di Bayern.

Walaupun prestasi mereka tidak memberangsangkan, Bayern kekal dalam saingan pemburuan kejuaraan liga, serta pertandingan piala domestik dan Eropah.

Mereka mengetepikan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dalam aksi 16 akhir Liga Juara-Juara selepas menang dengan agregat 3-0.