5,519 kes jenayah seksual kanak-kanak dilaporkan

Azalina Othman. - Foto Bernama
Azalina Othman. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bermula 2018 hingga Januari 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah itu, 4,713 kes (85.4 peratus) telah diselesaikan dan 3,060 kes (55.4 peratus) pula telah dituduh dalam mahkamah.

“Kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Secara amnya, penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah yang sangat baik dalam membantu pihak polis untuk menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta 792 berbanding dengan undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilapor, didakwa, dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

Menurut beliau, kerajaan kini dalam proses untuk membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan yang sedia ada.

Jelasnya, kerajaan turut akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) bagi memperuntukkan mengenai pendengaran khas.

“Ia sebagai suatu lagi mekanisme di mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

“Ia serta pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan yang tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa,” ujarnya.

Namun begitu, tambahnya, kaedah perundangan sahaja adalah tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Jelasnya, semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak.

“Ini termasuklah daripada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan, hingga ke prosiding di mahkamah.

“Perkara ini adalah mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik daripada saksi kanak-kanak dan juga meminimumkan trauma dan stigma yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan akan terus komited dalam menangani isu kesalahan terhadap kanak-kanak secara lebih holistik demi melindungi mereka.

Sementara itu, Azalina dalam sidang akhbarnya berkata, bagi menangani ancaman selaras dengan teknologi, kerajaan akan memperkenalkan kesalahan baharu iaitu Seks Secara Siaran Langsung dan Peras Ugut Seksual dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jelasnya, bagi kesalahan Seks Secara Siaran Langsung, ia adalah mereka yang mengambil bahagian secara langsung, menganjurkan, mempromosi, mengarahkan penyalahgunaan, menerima wang sebagainya.

“Bagi kesalahan ini, akan dikenakan tindakan penjara 20 tahun atau denda RM50,000.

“Bagi Peras Ugut Seksual iaitu penggunaan imej seksual kanak-kanak sebagai memeras ugut atau mengugut agar kanak-kanak menghantar lebih banyak foto atau video, membayar wang atau melakukan hubungan seks dengan pelaku akan dikenakan penjara 10 tahun,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Digital serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan dilakukan.

“Ia bagi memberi mandat kepada penyedia perkhidmatan internet untuk mengesan, menyekat akses dan melaporkan kesalahan kepada pihak berkuasa.

“Selain itu, bagi menangani masalah, galakkan penggunaan portal IWF Malaysia (Internet Watch Foundation) untuk kanak-kanak melaporkan dan mengeluarkan kandungan yang dihasilkan sendiri," ujarnya.