Masjid Ibnu Sina terbakar akibat dipanah petir

Keadaan bahagian dalam masjid yang musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Keadaan bahagian dalam masjid yang musnah dalam kebakaran pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid Ibnu Sina di Titiwangsa di sini telah ditimpa musibah pada awal Ramadan selepas 90 peratus ruangan dalam masjid itu musnah dalam kebakaran pada petang Rabu.

Pengurusan masjid dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat daripada forensik bomba menyatakan kejadian berpunca panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid.

Menurut kenyataan itu, kejadian telah menyebabkan api merebak dengan cepat dan memusnahkan bangunan masjid.

"Pihak bomba juga memberi kebenaran untuk solat di kawasan terbuka masjid (iaitu kawasan beranda masjid).

"Pihak masjid berharap, semua ahli jemaah dan kariah untuk bertenang dan bersabar di atas kejadian ini," menerusi kenyataan di Facebook rasminya pada Khamis.

Media pada Rabu melaporkan, kariah masjid berkenaan tidak sempat menunaikan solat tarawih pada malam Ramadan susulan kejadian berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memberitahu panggilan kecemasan pada 7.10 petang, sebelum tiba di tempat kejadian pada 7.17 malam.

Semasa kejadian tiada jemaah masjid, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, pengurusan masjid memberitahu, pihaknya bersetuju untuk menghentikan segala aktiviti masjid buat masa ini.

"Buat sementara waktu, jemaah dan anak kariah boleh memilih masjid berdekatan untuk menjalankan aktiviti Ramadan.

"Pihak masjid juga sedaya upaya menyediakan tempat solat yang selesa untuk jemaah dalam masa secepat mungkin," ujar kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, sebarang perkembangan mengenai aktiviti Ramadan dan maklumat berkaitan akan di kemas kini kemudian.

"Pihak masjid memohon maaf di atas kesulitan ini. Semua ini ujian daripada ALLAH SWT. Marilah kita sama-sama bermuhasabah agar kejadian ini adalah ujian dan 1, 000 hikmah daripada Allah, " katanya.