Inkues Baby Syifaa: Ada kesan darah pada kain buaian

Nurul Hamizai merupakan saksi ke-22 pada hari ke-6 prosiding inkues bagi mengesan punca kematian Baby Syifaa.
Nurul Hamizai merupakan saksi ke-22 pada hari ke-6 prosiding inkues bagi mengesan punca kematian Baby Syifaa.
A
A
A

SEREMBAN - Terdapat kesan darah 'Baby Syifaa' pada kain buaian dan tindakan pemilik taska membasuh barang kes terbabit menjadi topik utama pada hari ke-6 prosiding inkues bagi mengesan punca kematian bayi terbabit di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.

Saksi ke-22, ahli kimia Nurul Hamizai Abdul Hamid, 39, yang bertugas sebagai ahli kimia di Bahagian asid deoksiribonukleik (DNA) Forensik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berkata, penemuan itu berdasarkan penelitian secara keseluruhan ke atas kain buaian dan keputusan ujian DNA yang dilakukan.

"Kesan tompokan darah itu 'smear' sangat kecil dianggarkan berdiameter lima milimeter (mm) di bahagian kepala kain buaian.

"Bagi ekshibit (barang kes) lain iaitu pakaian mangsa dan permaidani (diambil dari taska) tidak menunjukkan kehadiran kesan darah," katanya.

Menurut Nurul Hamizai, hasil keputusan makmal mendapati DNA pada kesan darah itu sepadan dengan profil DNA Nour Rania Asyifaa.

Malah beliau turut menjelaskan tidak mengetahui yang buaian itu sebenarnya telah pun dibasuh.

Ketika disoal oleh Pegawai Pengendali inkues, Zahida Zakaria adakah DNA boleh termusnah atau menyusut sekiranya dibasuh, Nurul Hamizai berkata, ia bergantung pada tahap basuhan dan jika dibasuh pada cara ala kadar kesannya masih boleh kelihatan.

Dalam pada itu, Nurul Hamizai memberitahu, terdapat penemuan kromosom XY sekurang-kurangnya tiga individu yang tidak mempunyai kaitan kekeluargaan pada pakaian Syifaa yang diperoleh daripada keputusan DNA surih.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan siapa pemilik DNA itu kerana profil DNA tersebut telah bercampur tetapi bersetuju terdapat kesan kromosom lelaki.

Pada prosiding yang bersambung jam 2.30 petang, pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30 memberitahu dia membasuh buaian tersebut kira-kira jam 6 lebih kerana ia merupakan rutin harian pembersihan, malah tidak mengetahui ia merupakan punca kejadian.

Dia turut tidak bersetuju cadangan peguam pemerhati keluarga Syifaa iaitu Ghaitri Thomas yang mendakwa tindakannya membasuh buaian terbabit kerana terdapat kesan darah dan turut menafikan ia arahan kakaknya.

Hafiz Norkhan yang juga peguam keluarga Syifaa mempersoalkan sama ada Nadzirah nampak kesan darah pada kain buaian tersebut ketika membasuhnya.

"Saya tak nampak apa-apa kesan darah kerana saya rabun dan tidak memakai cermin mata pada waktu itu," katanya.

Malah Nadzirah juga memberitahu polis yang datang ke premis membuat siasatan pada hari kejadian juga tidak bertanya berkenaan kain buaian itu yang didapati basah kerana telah dibasuh.

Sebelum itu Nadzirah telah dipertontonkan video simulasi kejadian berlaku.

Turut hadir peguam pemerhati pihak pengasuh, S. Kavitha.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding inkues bersambung pada 2 Ogos, 3 Ogos, 29 Ogos, 18 September dan 19 Sepfember depan.

Seramai empat saksi lagi akan dipanggil iaitu bapa mangsa Yuseri Yusoff, 39, ibu mangsa, Anida Idrus, 42, pegawai penyiasat, Inspektor M Thinagaran dan pengasuh 'Baby Syifaa', Khairulnisa.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian