Pengurusan kes Bung Moktar, Zizie Izette ditetapkan 22 Mei

Bung Moktar, Zizie Izette
Bung Moktar, Zizie Izette
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan masih belum lagi menetapkan tarikh pendengaran rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Ini adalah kerana rekod rayuan masih belum dimuktamadkan dan sehubungan itu tarikh lanjutan pengurusan kes ditetapkan pada 22 Mei depan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Dr Syahliza Warnoh yang mengendalikan pengurusan kes rayuan itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Teh See Khoon, peguam yang mewakili Bung Mokhtar dan Zizie Izette ketika dihubungi mengesahkan tarikh lanjutan pengurusan kes itu ditetapkan kerana rekod rayuan yang belum dimuktamadkan itu.

Pada 2 September tahun lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isteri untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Bhd.

Pada 9 Disember tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pasangan itu menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menyebabkan mereka merayu di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah menolak permohonan itu setelah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan Bung Moktar dan Zizie Izette telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan semakan itu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kedua-dua mereka tidak sepatutnya memfailkan melalui notis usul sebaliknya dibuat melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada seorang perunding Unit Amanah, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. - Bernama