Pas pilih demokrasi bukan demontrasi - Abdul Hadi

Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan pihaknya memilih pendekatan demokrasi yang damai meskipun mengalami kekalahan berulang kali dalam pilihan raya.

Justeru beliau berkata, Pas menolak untuk berdemonstrasi jalanan bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) suatu ketika dahulu.

“Pas tidak menentang demonstrasi secara mutlak. Akan tetapi parti ini tidak menyalahgunakannya sekali-kali laksana kanak-kanak menggunakan api yang boleh membakar rumah sendiri, bukan untuk memasak mahupun mengambil manfaat daripada tenaga dan cahayanya.

“Jentera Pas digunakan juga untuk pilihan raya bagi memenangkan rakan gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang tiada jentera yang cukup kerana tidak memiliki cawangan yang banyak.

“Apabila Pas menarik diri daripada gerakan tersebut, ternyata kekuatannya yang sebenar telah dipergunakan untuk suatu agenda yang salah,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.

Abdul Hadi menambah, pihaknya juga menolak sebarang pendekatan politik sempit dalam sesuatu kerjasama yang dijalankan.

Oleh itu, Pas menzahirkan ketidaksetujuan berhubung tindakan Perikatan Nasional (PN) menyingkirkan UMNO dan Muafakat Nasional (MN) yang hanya melibatkan Pas dengan parti berkenaan.

“Pas memperkenalkan pendekatan politik Islam yang kaya dengan penulisan para ulama yang mewarisi ilmu para anbiya khususnya dalam politik, termasuk konsep khilafah dan raja berperlembagaan.

“Maka, langkah melaga-lagakan parti ini dengan raja-raja ialah langkah sumbang yang pernah digunakan oleh penjajah dahulu bagi mengekalkan kuasa mereka secara adu domba antara raja dengan raja, rakyat dengan rakyat, dan raja dengan rakyat,” ujar beliau.