Tragedi Lahad Datu: KDN jamin bantu anak Allahyarham Zulkifli

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan untuk membantu anak-anak Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat selepas anggota polis itu terkorban dalam tragedi berdarah di Lahad Datu sedekad lalu.

Beliau menjelaskan, satu pertemuan telah diadakan bersama balu Allahyarham iaitu Nooraziah Noor, 38, bersama tiga anaknya baru-baru ini.

"Saya bercakap sendiri dengan isterinya (balu Allahyarham), saya tidak mahu komen apa yang dilaporkan oleh media, saya jumpa dengan anak-anaknya.

"Pada momen itu juga kita telah minta ibu berkenaan memberikan semua dokumen tentang anak-anaknya. Saya sendiri akan maklumkan kepada Pengerusi Mara (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki).

"Sebenarnya dalam bilik itu (ketika pertemuan) Yang Di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) pun ada. Ibu berkenaan minta diberikan dokumen kepada Setiausaha ke Bawah Duli Tuanku," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Nooraziah menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan kerajaan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada tiga anaknya iaitu Noorakmal Amiruddin Zulkifli, 15; Noor Muhammad Aqil, 11 dan Noor Aqib Syahid, 10.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution menegaskan, komitmen KDN untuk membantu keluarga itu tidak perlu dipertikai mana-mana pihak, malah kementerian berkenaan sentiasa bertanggungjawab untuk berkongsi perkara yang berlaku.

"Hal yang dibangkitkan ialah dahulunya ada janji (jaminan pelajaran) sehingga baru-baru ini pihak polis mendatangkan keluarga itu sempena sambutan Hari Polis.

"Saya terus bagi komitmen bahawa kita akan memudahkan segera, sesuai dengan kelayakan anak-anaknya untuk mendapat peluang pendidikan terbaik," ujarnya.

Isnin lalu, tiga kanak-kanak itu mencuri tumpuan tetamu yang hadir pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ketika berlakon bersama lebih 80 anggota polis lain dalam pantomim tragedi Kampung Tanduo.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!