13 koperasi di Johor rugi lebih setengah juta akibat banjir

K. Saraswathy ( tiga dari kanan) menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis pada Khamis.
K. Saraswathy ( tiga dari kanan) menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis pada Khamis.
A
A
A

SEGAMAT- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan membantu 13 koperasi di Johor yang terjejas akibat banjir menerusi geran bantuan kecemasan.

Timbalan Menterinya, K. Saraswathy berkata, kerugian akibat banjir yang dialami koperasi yang kebanyakkannya terletak di daerah Segamat itu dianggarkan sebanyak RM500,000.

"Ada aset-aset yang musnah, ternakan mati dan jalan ladang yang rosak serta pelbagai lagi kerosakan. Oleh itu, kesemua koperasi yang terjejas akibat banjir ini akan dibantu melalui geran bantuan kecemasan dengan nilai maksimum RM30,000.

"Mereka juga layak menerima penangguhan bayaran balik pinjaman jika projek yang terjejas dibiayai oleh agensi kementerian," katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemberian Bakul Makanan Kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini pada Khamis.

Penerima sumbangan bakul makanan bergambar bersama di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, pada Khamis.
Penerima sumbangan bakul makanan bergambar bersama di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, pada Khamis.

Hadir sama, Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta dan Pengarah SKM Johor, Fadilah Salim.

Dalam pada itu, Saraswathy memberitahu pengagihan kekayaan koperasi di Johor dianggap baik di mana bagi tahun kewangan 2021 hampir 600 koperasi telah mengistiharkan dividen bernilai RM11.33 juta yang memberi manfaat kepada lebih 400,000 ahli.

"Melalui penyertaan dalam koperasi anggota bukan sahaja mendapat dividen, tetapi banyak lagi faedah lain menerusi tabung-tabung yang diwujudkan koperasi seperti tabung khairat kematian, tabung kebajikan, tabung pendidikan dan lain-lain lagi.

"Bagi tahun kewangan yang sama, sebanyak RM9.74 juta keuntungan telah diagihkan kepada tabung-tabung berkenaan demi kebajikan dan peningkatan taraf hidup ahli," katanya.

Pada program itu, sebanyak 100 bakul makanan diserahkan kepada mangsa banjir terdiri daripada penduduk Kampung Taman Sungai Sapar Chaah dan Taman Labis Jaya bertujuan membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa dalam menghadapi musibah banjir tahun ini.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi giat membantu usaha kerajaan dalam menggerakkan jentera bagi membantu mangsa banjir yang terkesan akibat bencana alam ini.

"Terima kasih kepada semua yang membantu mangsa banjir dan berharap agar sumbangan yang dihulurkan ini akan memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban kepada mangsa banjir," katanya.