Syor gaji graduan TVET RM3,000, elak jurutera berhijrah - MITI

Chin Tong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Chin Tong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya majikan membayar gaji minimum RM3,000 untuk graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) wajar dilaksanakan bagi mengelakkan lebih ramai jurutera tempatan berhijrah ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, cadangan itu juga disifatkan sebagai sesuatu yang sangat baik.

“Gaji median pada tahun 2021 adalah RM2,250 dan ini adalah keadaan ini yang tidak boleh diterima kerana anak-anak muda tidak akan terima gaji yang begitu rendah.

“Kita lihat cadangan Ahli Parlimen Bagan Datuk (Ahmad Zahid) baik dan harus dilaksanakan supaya gaji graduan TVET lebih tinggi dan akhirnya gaji jurutera juga akan lebih tinggi.

“Kalau tidak, jurutera akan berhijrah ke negara lain disebabkan gaji terlalu rendah dan perkara ini kita perlu lihat sebagai masalah negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN - Kubang Pasu) yang meminta kerajaan meneliti kembali cadangan gaji permulaan graduan TVET RM3,000 sebulan kerana disifatkan tidak praktikal memandangkan gaji permulaan jurutera hanya dibayar RM2,250.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Amirudin Shari (PH - Gombak) yang memintanya menyatakan perancangan MITI dalam mengenal pasti dan meneroka industri baharu bagi tujuan TVET, Chin Tong berkata, sebuah jawatankuasa kabinet berkaitan pendidikan itu ditubuhkan dan di pengerusikan Ahmad Zahid.

Katanya, jawatankuasa itu diwujudkan untuk memperkasa dan menyelaraskan institusi-institusi TVET yang melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT); Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Yang Berhormat Bagan Datuk (Ahmad Zahid) dengan tepatnya mengenalpasti masalah program TVET yang sedia ada, iaitu gaji tidak setimpal dan beliau mengesyorkan supaya graduan berkenaan diberikan gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan,” katanya.

Jelasnya lagi, struktur gaji pasaran buruh di Malaysia terlampau rendah kerana kewujudan ramai pekerja warga asing tanpa kemahiran.

“Apabila majikan terus mengupah pekerja warga asing tanpa kemahiran, maka tiada insentif dan dorongan untuk syarikat-syarikat membayar gaji berpatutan kepada warganegara kita yang berkemahiran,” katanya.