YBR cipta sejarah anjur pidato dan puisi rumpun Melayu

Yang Di-pertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (DR) Haji Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis tersebut.
Yang Di-pertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (DR) Haji Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Program Pertandingan Pidato dan Puisi Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) pada 20 Mac mencipta sejarah apabila mengumpulkan para pemidato dan pembaca puisi dari serantau ASEAN.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, program dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) bertujuan meningkatkan martabat pendidikan Bahasa Melayu lebih holistik.

“Pertandingan ini turut dihadiri wakil pemidato dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara agar diharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat majmuk khususnya bakal guru dan mahasiswa mengenai kepentingan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan pelbagai kaum.

“Ia bagi mencungkil bakat dan kreativiti peserta berpidato dan berpuisi, membina keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi, meningkatkan kemahiran berbahasa serta mengiktiraf usaha penulis dan penerbitan buku melalui Anugerah Buku Negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, galakan dan dorongan perlu diberikan agar masyarakat menyedari bidang penulisan kreatif boleh dijadikan sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan.

Menurut Syaiful, harapan inisiatif ini secara tidak langsung memartabatkan Bahasa Melayu di mata dunia.

“YBR bersetuju untuk menjadi penganjur bersama dengan harapan inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di mata dunia serta berbangga dengan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Kerjasama ini merupakan langkah positif bagi membantu organisasi bukan kerajaan (NGO) setempat dalam menganjurkan program yang bermanfaat kepada masyarakat terutamanya kepada mahasiswa dan guru,” ujarnya.

Menurutnya, bagi tahun 2022 seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 72 program melalui inisiatif tersebut.

“YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti dapat memberi satu impak yang besar kepada usaha untuk membantu masyarakat melalui peluang pekerjaan serta meningkatkan kepakaran dan kreativiti dalam bidang industri kreatif,” katanya.