Anwar lakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023 atas jemputan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Perdana Menteri dijadual menghadap ke atas Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga turut mengadakan sesi pertemuan bersama komuniti perniagaan serta diaspora Malaysia di Arab Saudi.

Lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa dengan Arab Saudi yang wujud selama ini serta memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan jalinan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang.

Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat. Pada tahun 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (AS$4.23 bilion) pada tahun 2021.

Perdana Menteri akan diiringi Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta pegawai kanan kerajaan. - Bernama