Pas kecam penganjuran Thai Hot Guy

Dewan Ulama Pas Pusat mengecam penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac depan.
Dewan Ulama Pas Pusat mengecam penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat mengecam penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac depan yang dilihat boleh mencemarkan imej negara di mata umat Islam seluruh dunia.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, penganjuran program sedemikian tidak sepatutnya dianjurkan di negara ini malah ia mencemarkan keberkatan bulan mulia yang bakal disambut umat Islam pada Khamis.

Menurutnya, kehadiran kumpulan terbabit disifatkan menjijikkan, tidak senonoh serta mendorong ke arah mempromosi ideologi dan perlakuan songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dalam negara.

"Saya mengecam sepenuhnya penganjuran program Grand Opening Privacy Club Tun Razak dengan Thai Hot Guy disenarai sebagai jemputan dalam program tersebut.

"Kumpulan Thai Hot Guy yang menampilkan lelaki berpakaian wanita itu bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran yang diamalkan di Malaysia.

"Ia juga bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya di Facebook pada Selasa sambil menyifatkan keadaan itu bertentangan dengan prinsip Madani.

Beliau menegaskan, program itu juga seolah-olah mempromosikan selain menjadi tarikan golongan gay untuk berkembang di negara ini sekali gus menyumbang kepada implikasi terhadap perkembangan penyakit HIV.

Menurut Ahmad, laporan 'Malaysian Strategic Plan for Ending AIDS menjelaskan golongan Men Sex with Men (MSM) atau bahasa mudahnya gay merupakan penyumbang utama kepada penyakit HIV ketika ini.

Justeru, beliau menyarankan kepada pihak berwajib mengambil beberapa langkah termasuk menyekat penganjuran program tersebut bagi menghalang kehadiran kumpulan songsang dari Thailand terbabit yang tidak memberi manfaat kepada negara.

"Langkah yang tegas wajar dikuat kuasa bagi mengelakkan daripada golongan sebegini terus berkembang dalam negara.

"Ketiga adalah menyediakan pelan tindakan bagi memperuntukkan undang-undang atau dasar yang tegas terhadap kumpulan mempromosi ideologi serta perlakuan LGBT bertentangan dengan agama, budaya dan fitrah seorang manusia," ujarnya.

Pada Isnin, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.