Kerajaan muktamadkan Insiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi kenyataan pada Selasa, Kementerian Kewangan berkata, inisiatif tersebut akan memberi kemudahan untuk ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapatkan pembiayaan dari institusi perbankan.

"Inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah konvensional atau kadar keuntungan Islamik yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka di antara empat hingga lima peratus setahun," kata kementerian itu.

Tambah MOF, kadar itu adalah jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi dari institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar lapan hingga 15 peratus.

"Inisiatif ini juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.

"Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan," ujar MOF.

Maklumat terperinci mengenai inisiatif itu akan diumumkan oleh KWSP kelak.

Dalam pada itu, MOF menegaskan, kerajaan tidak akan pertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu simpanan KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak Covid-19.

Malah, berdasarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kesemua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telah pun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal sejak 2021.