Dewan Rakyat lulus tubuh 10 Jawatankuasa Pilihan Khas

Azalina Othman. - Foto Bernama
Azalina Othman. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan usul penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang baharu.

Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat; Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Azalina berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas itu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian.

Sementara itu beliau berkata, Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat bersetuju bahawa Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. - Bernama.