RAC diberi tempoh setahun sediakan lif di stesen komuter

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media pada Majlis Perasmian Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media pada Majlis Perasmian Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Aset Keretapi (RAC) diberi tempoh setahun untuk menaik taraf stesen komuter agar dilengkapi dengan kemudahan lif.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, RAC memainkan peranan dengan memberi fokus terhadap kemudahan itu.

"Ada stesen komuter mempunyai dua platform atau lebih yang mana pengguna perlu menggunakan jejantas untuk menyeberang.

Jejantas ini untuk orang biasa, okay tetapi bagi golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung, ia menyusahkan," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi Railway Assets Intelligence System (RAILS) di sini pada Selasa.

Menurutnya, RAC perlu sedaya upaya melaksanakan kemudahan itu mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Sudah tentu ada cabaran, tetapi kita mesti cuba," katanya.

Beliau berkata, RAC bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah diarahkan untuk membuat audit bagi mengenalpasti stesen yang memerlukan kemudahan lif.

"Laporan audit itu perlu disiapkan dalam kadar segera dan dalam tempoh sebulan mesti dibentangkan kepada kementerian," katanya.

Anthony berkata, RAC akan mengendalikan proses seterusnya bersama lembaga pengarah.

"Saya telah pun minta pihak terbabit untuk beri kerjasama supaya segerakan pertimbangan ini.

Kita ada tadbir urus baik yang perlu dipatuhi, sebarang perbelanjaan mesti dibawa kepada pihak lembaga pengarah," katanya.

Kemudahan lift di stesen komuter merupakan keutamaan MOT bagi menyelesaikan keluhan pengguna yang berhadapan dengan kesukaran sewaktu menggunakan tren.

Dalam pada itu, Anthony berkata RAILS yang dilancarkan menawarkan kemudahan permohonan sewaan aset kereta api sevata dalam talian.

"Kita harap sehingga penghujung tahun ini, sebanyak 50 peratus daripada 1,300 pengewa RAC di seluruh negara akan menggunakan RAILS dalam melakukan urus niaga bersama agensi MOT itu.

Pendapatan yang diperoleh bukan sahaja dapat menampung kos operasi malahan boleh disalurkan untuk menambah baik infrastruktur kereta api demi keselesaan pengguna pengangkutan rel," katanya.