KPM cadang wajibkan pendidikan peringkat sekolah menengah

Fadhlina menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Fadhlina menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah komitmen kementerian untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

"Ketika ini, berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996 hanya setakat Darjah 6 sahaja. Tetapi (menerusi) komitmen KPM, kita telah panjangkan dan sebar luaskan (perkara ini),” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk R. Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah untuk memastikan pelajar tidak tercicir selepas tamat sekolah rendah.

Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A (2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Fadhlina berkata, ketika ini KPM telah mengambil pendekatan untuk menangani perkara itu dengan mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.

Beliau berkata, program K9 adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 3, manakala K11 akan memastikan anak-anak akan terus berada di sekolah daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 5. - Bernama