Segerakan proses tender tebatan banjir - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Johan Mahmood menyegerakan proses tender projek tebatan banjir di seluruh negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi mangsa banjir pada tahun-tahun akan datang.

"Saya minta KSP segerakan," katanya dalam ucapan pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor, di sini pada Selasa.

Menurutnya, langkah segera telah diambil kerajaan terutamanya membuat perolehan ke atas water jet.

"Saya percaya ini dapat membantu rakyat yang tertekan sekali gus memberi makna besar (kepada mereka)," katanya.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan akan mempercepatkan projek tebatan banjir termasuk di Johor dengan menggunakan kaedah ‘fast-track’ atau pantas dalam kelulusan tender meskipun diperkenalkan sistem tender terhad.

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan perkhidmatan awam yang turun ke Johor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Ini satu permulaaan baik sebelum Ramadan yang merupakan satu ibadah. Saya doakan semoga perjalanan program berjalan lancar," katanya.

Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) membariskan seramai 1,520 penjawat awam daripada seluruh negara mewakili semua kementerian, jabatan dan agensi dengan tumpuan bantuan yang dikhususkan ke kawasan terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Manakala Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berperanan dalam mengatur usaha mobilisasi pegawai perkhidmatan awam serta menyelaras pembahagian kawasan terjejas banjir kepada pihak kementerian bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.